Tuesday, February 7, 2012

Peta MInda Mantapkan Ingatan


PETA minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semula maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang boleh dilihat.

Ia boleh membantu untuk meningkatkan kecerdasan dan kemahiran untuk mengukuhkan daya ingatan serta pemahaman.

Peta minda merangsang pelbagai keupayaan yang ada dalam diri. Misalnya, anda perlu memikirkan mengenai maklumat yang diperlukan dan membuat pemilihan mengikut keinginan diri.

Secara langsung, anda berhubung secara aktif dengan maklumat yang ada dalam ingatan atau dalam perkataan lain, anda sebenarnya sedang berbicara dengan daya ingatan sendiri.

Peta minda juga boleh merangsang beberapa anggota anda yang mempunyai peranan tersendiri seperti berfikir, memerhati, memilih, melukis dan menentukan anda memahami apa yang anda inginkan.

Tangan anda ikut serta dalam kerja-kerja tersebut. Ia dapat memahirkan diri dengan disiplin yang penting dalam pembelajaran.

Menggunakan peta minda bermakna anda harus menggunakan kemahiran menyusun maklumat yang betul dan tepat dan mudah difahami.

Peta minda juga membolehkan anda membuat perkaitan dengan lebih mudah dan cepat. Apa yang anda ingat akan dapat diperkukuh melalui gambaran dan tulisan yang anda lakukan.

Kemudian anda mengaitkan pula dengan beberapa isi kecil yang lain. Ini lama kelamaan akan membentuk idea keseluruhan mengenai apa yang anda inginkan daripada daya ingatan anda.

Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan peta minda akan menambahkan keseimbangan otak kiri dan otak kanan.

Anda telah ditunjukkan mengenai keperluan keseimbangan antara otak kiri dan otak kanan dalam rencana-rencana yang terdahulu.

Apa yang menarik mengenai peta minda ialah ia merangkumkan semua aspek bahasa, analitis, reka bentuk, matematik, deria dan sebagainya dalam usaha keseluruhannya.

Kelebihan lain yang terdapat pada peta minda ialah ia mudah digunakan serta sesuai untuk semua tujuan.

Peta minda amat sesuai untuk tujuan menelaah pelajaran, mengambil nota yang diajar oleh guru, membaca buku, persediaan sebelum berbahas, untuk bermesyuarat, malah untuk persediaan membeli-belah.

Anda tidak perlu menuliskan semuanya pada sekeping atau lebih kertas. Anda tidak akan sukar untuk memikirkan secara mendalam kerana ingatan anda dibantu oleh hasil lukisan dan tulisan mata dan tangan anda.

Peta minda boleh disediakan dengan mudah. Pada buku tulis atau sekeping kertas, tulis topik utama yang menjadi perhatian anda. Topik tersebut, misalnya pembelajaran, eloklah dituliskan di bahagian tengah.

Dari sini, pelbagai perkara lain yang berkaitan dengan topik pembelajaran akan dihasilkan dalam bentuk cabang atau cawangan daripada pembelajaran tadi.

Daripada cabang-cabang tadi, anda boleh menghasilkan pelbagai fakta isi kecil yang lain bentuk ranting.

Di samping itu, anda boleh juga menggunakan pelbagai imej lain yang boleh mencorakkan peta minda dengan lebih menarik.

Monday, February 6, 2012

Cerpen minggu ini

O, di mana radenku

Bagai manik-manik terurai dari karangannya, hujan terus gugur dari langit beram. Sudah hampir sejam begitu. Tiada tanda-tanda menunjukkan ia akan berhenti. Perjalanan jadi semakin sulit. Hujan bukan saja membasahkan seluruh persekitaran, malahan turut mengaburkan pandangan. Silauan cahaya daripada lampu-lampu kereta, van, MPV, lori dan bermacam jenis kenderaan mengganggu pandangannya. Namun, tangannya tetap memegang handle motosikal tuanya dengan kejap. Sesekali tayar entah dari kenderaan apa merempuh lopak air di gigi jalan lalu memercikkannya ke tubuh Pak Johor. Dia tidak menghiraukannya. Dia tidak peduli. Lagipun, dia tidak punya pilihan. Itu bukan kali pertama dia menghadapi situasi sebegitu.

"Oi, nak mampus ke!"
Biarlah.
"Ketepi sikitlah, motosikal cabuk!"
Gasaklah.
"Oi, hati-hati! Bangsat!"
Bangsat?
Kata terakhir dari pemandu kereta menaikkan kemarahannya. Itu sudah melampau, jerit hatinya.

Kamu yang merempat ke sini, kamu yang bangsat! Hati kecilnya merungut.
Air dari lopak di gigi jalan menerkam tubuhnya yang sememang sudah lencun. Sekarang dia harus bertindak balas.

"Mampuslah! Lu yang sebenarnya bangsat...dan merempat!" akhirnya dia melepaskan geram kepada pemandu sebuah kereta sedan mewah berwarna merah saga yang menyebabkan lopak air hujan tersimbah ke mukanya.
Pak Johor membuang pandangan ke kanan seketika. Sebuah bangunan tinggi tersergam di situ. Dia tahu apa ada di sebalik bangunan itu, walaupun tidak kelihatan dari jalan besar. Dulu di situ ada hentian feri ke pulau peranginan yang membawa para pelancong dari seluruh dunia ke Pulau Sentosa. Tapi sekarang perkhidmatan feri sudah dihentikan. Sebuah jambatan cantik kini menghubungkan kedua-dua buah pulau. Ia dibina bagi memudahkan para pelancong dan kaki judi ke pulau itu. Dia juga tahu itu bukan nama sebenar pulau. Apakan daya, apabila pulau itu jatuh ke tangan orang asing, banyak nama asal diubah ikut sesuka hati pemilik baru, termasuklah nama pulau itu. Akhirnya nama yang diberi oleh nenek moyangnya lesap dalam sekelip mata.
Maafkan kami, terbetik kata-kata itu di benaknya, seakan menuntut kemaafan daripada leluhurnya.

Tapi kamu tak salah, Johor...yang salah adalah para politikus yang pengecut. Seperti ada suara di tengah hujan membekam ke dalam dirinya pula.
Ah, masakan aku tidak tahu....Dia tersenyum sendirian.
Sebaik membelok ke kiri, dari Jalan Jalan Bukit Permei menyusur ke sisi Mount Faber Lodge, kakinya terpaksa merengkuh rakap basikalnya dengan lebih kuat. Gradien jalan semakin curam. Sejak beberapa tahun kebelakangan, kedua-dua pelipat kakinya sering lenguh-lenguh. Ada ketika-ketikanya dia terasa semacam ada jarum dicucuk-cucukkan di situ. O, Raden Mas, masa telah meninggalkan kamu.

Ada rasa sayu menyerbu ke dalam dirinya. Pada satu satah dalam hayatnya, hampir setiap hari dia melalui jalan itu, menuju ke tempat kerja di sebuah limbungan kapal tidak jauh dari situ. Biru laut, pasir di pantai, seperti tertampan di bukit, lalu terhimpun ke dalam aksara diksi sebuah syair yang tak kunjung selesai. Biasanya dia gembira ketika menempuh laluan itu, kerana dia selesa bekerja di limbungan. Tapi akhir-akhir ini dia tidak lagi seceria dulu. Sungguh, dia dapat merasakan semua itu. Dan pagi itu, di ambang makam Raden Mas, perasaan murungnya seakan sampai ke kemuncak.

Adakah disebabkan ini hari terakhirnya dia berada di Pulau?
Aneh, perpisahan selalu saja mengundang kesayuan, fikirnya. Lama dulu, sewaktu meninggalkan tanah semenanjung dia juga ditekan oleh perasaan sebegitu. Tapi semasa itu dia masih muda, dan semangatnya sedang berkobar-kobar.
"Aku takkan kembali lagi ke Tanah Semenanjung!" Kata-kata itu seolah-olah satu kenyataan berpatah arang, berkerat rotan.

Petang itu dia dan teman karibnya minum-minum di warung kecil di tepi Tambak. Warung itu memang terkenal dengan ubi rebus cicah sambal belacannya. Dia terasa dadanya berat saat melepaskan kata-kata itu.

"Jangan marahkan nyamuk sampai membakar kelambu, Johor...". Dia teringatkan ayat yang keluar daripada mulut Ku Rahman, sahabatnya sejak di bangku sekolah. Dia tidak tahu sama ada kata-kata teman karibnya itu satu nasihat, ataupun sindiran. Dia tidak dapat membezakannya pada ketika itu.

Sekarang, setelah lebih empat puluh tahun, dia sedar kata-kata yang telah lama terkunci di lipatan waktu itu menyimpan nilai makna bak mutiara dari biru segara. Kata-kata itu bukan saja santun, tetapi mengandungi kiasan yang mendalam. Malahan sesekali ia terasa semacam tempelak pula kepadanya - kata-kata yang menanggung beban peristiwa yang bakal dipikul olehnya - selamanya.
Malu pun ada, segan pun ada, ketika berjanji kepada Ku Rahman "untuk memikirkan" pelawaan sahabat lamanya itu sebulan lalu.

"Pulanglah Johor, kau dah tak ada apa-apa di sini lagi..."
"Tapi Ku, aku pun tak pernah punya apa-apa di tanah tumpah darahku..."
"Aku akan bantu," Ku Rahman membuat deklarasi terbuka. "Aku tau ada banyak yang telah kau saksi dan kau alami di pulau ini. Kau perlu menuliskannya untuk dijadikan rujukan kepada anak cucu kita...kau melihat sendiri bagaimana sejarah pulau ini diselewengkan..."
"Aku bukan penulis, aku mantan pekerja limbungan kapal..."

Namun, benaknya mengakui kebenaran kata-kata Ku Rahman. Dia bukan saja melihat bagaimana sejarah pulau dimanipulasi, tetapi mengalaminya sendiri. Sebaik pindah ke pulau, dia menetap di Siglap. Apabila kampung itu dirobohkan, di pindah ke Augang. Augang juga diruntuhkan, lalu dia pindah pula ke Bedok. Dan Bedok pula diruntuhkan. Akhirnya semua kampung lenyap dari pulau.
Sekolah-sekolah tersohor seperti Sang Nila Utama dan Tun Seri Lanang yang menjadi almamater kepada ramai tokoh-tokoh terbilang sudah lama menutup pintu. Dia tidak tahu apa akan jadi kepada bahasanya. Dia menyaksikan semua itu.

"Ah, itu kerja setiausaha, kau hanya perlu cakap. Kau tau, Sauyah, setiausaha kau yang genit tu, dia masih solo tau.." Ku Rahman mencelah tiba-tiba.
"Kau merapeklah.."
"Betul, sesekali bila kami bertemu, dia selalu tanya fasal kau."
"Dia masih berpolitik?"
"Dah lama pencen....dia buka sekolah...."
"Oo...."

Dan apabila surau kecil di lereng bukit itu dirobohkan setahun lalu, dia hanya datang sesekali ke situ, di makam dan persekitarannya. Di situ dia seringkali bertemu orang-orang dari semenanjung.

Dia mendongak, dan memandang ke kiri. Dan dia terbayangkan wajah Raden Mas yang jelita. Ada semacam kesayuan menyelinap ke dalam dirinya dengan tiba-tiba. Dia tidak tahu kenapa semua yang disenanginya harus lenyap dari tangannya? Lama dulu teman-teman, kemudian diikuti surau comel di lereng bukit, dan kini stesen keretapi.

Dulu dia selalu ke stesen keretapi Tanah Melayu di Tanjung Pagar. Tapi sekarang ia sudah dipindahkan ke Woodlands. Satu lagi lambang yang ada pautan dengan tanah tumpah darahnya lenyap buat selama-lamanya. Dia membaca berita tentang pembangunan mega yang akan dibangunkan secara usaha sama antara pemilik asal dan pemerintah Pulau. Tapi jauh di sudut hatinya, dia terkenang, berapa keratkah dalam kalangan kaumnya yang mampu membeli hartanah itu nanti?

Baginya meroboh kampung dan petempatan bukanlah pemodenan, tetapi lebih merupakan agenda marginalisasi. Dia terfikir, bukankah lebih baik sekiranya dilakukan menerusi transformasi? Kenapa perlu dimusnahkan yang lama? Kini tidak ada lagi yang dinamakan kampung halaman. Bilangan masjid dan surau semakin susut. Kalau ada pun hanya terselit di celah-celah deretan kedai atau di basement kompleks membeli-belah.

Ketika menongkat motosikalnya di tepi pohon pulai, dia memerhatikan jam di tangan kiri. Tepat jam 9:00 pagi. Kata penjaga makam ada anak raja dari seberang Tambak akan datang melawat makam. Maklum, ratusan ekar di kawasan itu milik keluarga raja di seberang Tambak.

Apakah tanah tersebut akan dibangunkan?
Atau mahu dijual?
Ah, kenapakah orang sekarang tidak lagi menghiraukan sejarah.....Ada kekesalan menujah-nujah ulu hatinya.
Dan spontan dia teringatkan perasaan sebegitulah yang telah menghantarnya jauh menualang di rantau orang.

"Andakah tokoh pejuang politik yang meninggalkan Tanah Semenanjung? Kata orang anda selalu di sini..." tanya seorang muda berpakaian kemas. Beliau diapit oleh dua orang yang berkumis, dan berbadan sasa. Dia mengagak tentulah orang muda itu anak raja dari seberang Tambak.
"Ya, err, Tengku..." jawabnya teragak-agak. Maklum, sudah lama dia tidak berdepan dengan anak raja. Di Pulau tidak ada lagi cerita tentang raja. Jauh sekali, bahasa istana.
"Tak usah berbahasa dengan saya, di Pulau ini bukan tempatnya..."
"O…tak mengapa…"

Dia teringatkan cerita orang tentang fiil anak raja ini. Kata mereka dia garang dan perengus. Tapi nampaknya dia seorang yang berbudaya dan santun.
"Sudah lama tempat ini terbiar, kami bercadang membangunkannya," sambung anak raja.

"Err, kalau boleh patik bertanya, untuk apa ya..?" Dia tercenung seketika bila menyedari bahawa itu bukan urusannya.
Namun, anak raja menjawab kemusykilannya. "Untuk orang kita, sekurang-kurangnya saya nak dirikan sebuah masjid bagi menggantikan surau yang sudah dirobohkan."

Dia terfikir: Apakah kemunculan anak raja ingin menebus segala kesilapan yang dilakukan oleh keturunannya suatu waktu, lama dulu?
Dia tidak dapat menjawab soalan itu.

"Saya tidak dapat lama, Pak Johor...kalau berada di seberang, singgahlah di pondok saya," anak raja minta diri, sambil menghulurkan kad nama. Dari emblem yang terpantak di kad, sah, dia anak raja yang berdaulat, dan pewaris takhta kerajaan.
"Selamat jalan, tengku.."
Anak raja melangkah sambil tersenyum.
Hari ini dia akan menziarahi makam Raden Mas Ayu buat kali terakhir. Dia mahu merakamkan seluruh keindahan bukit itu agar semuanya kekal dalam ingatannya. Kini, rasa ingin pulang ke tanah semenanjung sudah tidak terbendung. Dia tidak dapat menafikan rasa rindukan tanah tumpah darahnya ada kaitan langsung dengan pelawaan teman lamanya.
Hujan sudah reda. Tidak ada lagi bibit-bibit hitam bergayut di sayap awan. Keadaan sekeliling kelihatan tenang semula.

Dia akan meninggalkan Raden Mas bersemadi bersama destininya. Keberanian wanita malang itu membela ayahandanya Pangeran Adipati Agung tetap akan menjadi inspirasi buat Pak Johor. Dia sedar, keberanian dan perjuangan juga mempunyai pertaruhan yang amat besar. Dia juga sudah mengerti banyak tentang dendam, dengki dan sepak terajang politik yang melilit bangsanya.
Jemputan sahabat lama tiba-tiba saja meniupkan rindu kepada induk semangnya. "Kembalilah, Johor, tanah kita masih berdaulat... kau tak perlu menualang di negara orang. Segala yang berlaku sudah tersimpan baik-baik di lipatan sejarah."
Memang sudah lama dia berhasrat untuk menghabiskan sisa-sisa hidupnya untuk menghasilkan sebuah autobiografi.

"Aku akan uruskan penerbitannya," kata kawan itu, yang ditemuinya semula ketika kawan itu melawat makam Raden Mas. Dia sudah jadi orang kaya. Satu masa dulu dia juga marah fasal episod perpisahan Singapura. Dia juga meninggalkan tanah tanjung, lalu bermastautin jauh di utara.
"Yang penting kau pulang dulu..."
Dia terpegun seketika.
"Menulis tentang apa?"
"Pengalaman marahkan nyamuk...!"
Mereka ketawa berderai.

Memang banyak kenangan yang menyerbu kotak fikirnya. Semua bagai merayu untuk diabadikan dalam autobiografinya nanti.
"Aku akan ceritakan semuanya..." di berjanji dalam hati.
Dia akan merakamkan tentang Geylang Serai yang malang, Pulau Batu Putih yang hilang, dan raja-raja yang kehilangan istana dan kini terpaksa tinggal di pangsapuri-pangsapuri murah. Dan sudah tentu dia akan menulis tentang betapa mudahnya memutarbelitkan sejarah.

Di satu pagi yang lembap keretapi meninggalkan stesen Tanjung Pagar buat kali terakhir, setelah hampir seratus tahun membelah Pulau. Sayang, dia tidak membawa kamera untuk merakamkan peristiwa bersejarah itu. Dia hanya mencatatkannya di dalam ingatan. Ramai penumpang melambai-lambaikan tangan kepadanya. Tapi dia tidak mengenali seorangpun daripada mereka.
Agaknya mereka memberikan lambaian terakhir kepada stesen, fikirnya. Tiba-tiba dia terasa air matanya tergenang, dan perlahan-lahan mengalir di lurah pipi tuanya.

Dia menuruni cerun, membelok ke kiri menghala semula ke Jalan Bukit Purmei. Matahari sudah tercacak di bumbung langit. Kesan hujan yang turun sejak awal pagi sudah tidak kelihatan di atas permukaan jalan. Di matanya wajah-wajah Ku Rahman dan anak raja dari seberang Tambak yang baru saja dikenalinya bermain dengan galak. Dia juga terkenangkan teman-teman lama di kampungnya jauh di utara. Kalau ada kesempatan mau juga dia bertemu dengan bekas setiausahanya.
Ini hari terakhirnya di Pulau. Dia mahu mengenang semula segala peristiwa, segala tanda dan segala makna yang dikutipnya sepanjang berada di Pulau itu. Meski, dia tahu Raden Masnya sudah tidak lagi di situ. Dan dia terbayangkan kesulitan yang bakal dihadapinya untuk mengeluarkan simpanan CPFnya untuk pulang ke Tanah Semenanjung.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sastera&pg=sa_01.htm

RENUNGAN

DOA KESYUKURAN
Ya Allah, tolonglah kami agar sentiasa ingat, bersyukur dan beribadah dengan baik padaMu


DOA MOHON PETUNJUK DAN KEKAYAAN JIWA
Ya Allah, aku memohon padaMu petunjuk,kesucian dan kekayaan jiwa

DOA TERLEPAS DARI GODAAN SYAITAN
Ya tuhanku, aku berlindung dari bisikan-bisikan syaitan. Dan aku berlindung kepada Mu ya tuhanku, agar mereka tidak mendekatiku (Al-Mukminun:97-98

Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi serta dalam pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.(Iaitu) orang-orang yang menginagati Allah pada waktu berdiri mahupun duduk dan berbaring;dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi(seraya berkata):'Ya Tuhan kami,Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia.Maha suci Engkau,maka jauhkanlah kami dari seksa neraka.(Ali Imran:190-191)

DOA KESEJAHTERAAN HIDUP
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ سَلاَمَةً فِيْ الدِّيْنِ وَعَافِيَةً فِي الْجَسَدِ وَزِيَادَةً فِي الْعِلْمِ وَبَرَكَةً فِي الرِّزْقِ
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kesejahteraan agama kami dan kesihatan yang baik pada jasad kami dan ilmu yang bertambah serta rezeki yang berkat

DOA DI BULAN RAMADHAN
Yaa Allah! Jadikanlah Puasa Ku Sebagai Puasa Orang-Orang Yang Benar- Benar Berpuasa. Dan Ibadah Malam Ku Sebagai Ibadah Orang-Orang Yang Benar-Benar Melakukan Ibadah Malam. Dan Jagalah Aku Dan Tidurnya Orang-Orang Yang Lalai. Hapuskanlah Dosa Ku ... Wahai Tuhan Sekalian Alam!! Dan Ampunilah Aku, Wahai Pengampun Para Pembuat Dosa

Yaa Allah! Dekatkanlah Aku Kepada Keredhaan-Mu Dan Jauhkanlah Aku Dan Kemurkaan Serta Balasan-Mu. Berilah Aku Kemampuan Untuk Membaca Ayat-Ayat-Mu Dengan Rahmat-Mu, Wahai Maha Pengasih Dan Semua Pengasih!!

Yaa Allah! Berikanlah Aku Rezeki Akal Dan Kewaspadaan Dan Jauhkanlah Aku Dari Kebodohan Dan Kesesatan. Sediakanlah Bahagian Untuk Ku Dari Segala Kebaikan Yang Kau Turunkan, Demi Kemurahan-Mu, Wahai Dzat Yang Maha Dermawan Dari Semua Dermawan!